sakit-tiada-parut

Sakit yang tiada parut, tiada luka dan tiada nyata. Tinggal berperang dalam kepala hancur luluh hilang bicara.

Menyiksa jiwa sendiri dan tersayang dengan ombak emosi sehingga jiwa-jiwa terseksa. Kau tak nampak bukan bermakna tiada.

Kau tertanya kenapa seperti baik-baik sahaja, adakah kau mahu aku menyingkap tirai yang membezakan antara waras dan gila?

Aku tidak pernah kuat, sekuat aku melawan diriku akhir-akhir ini. Tawa dan tangis bergilir, senyum dan bengis berganti tidak tentu waktu.

Sehingga aku lupa waktu, malam atau siang apa bezanya. Yang aku mahu cuma menyendiri kerana dunia terlalu bingit.

Ada insan yang boleh melihat. Ada insan yang nampak tapi membutakan mata. Pura-pura fikir aku ini pura-pura juga.

Andai boleh ku tukar kamu dan aku, adakah kau mampu terus hidup tanpa bertukar menjadi yang tidak sepatutnya?

Dan adakah kau sedar kalian apa yang menjadikan aku sebegini rupa? Tidakkah kamu rasa?

Aku bersyukur Tuhan temukan aku jiwa-jiwa yang tenang yang menahan aku dari jatuh. Jiwa-jiwa ini dapat melihat aku melebihi apa yang dapat dilihat.

Maafkan aku, bertabahlah denganku. Aku sedang mencuba dan cubaan ini merenggut segala tenaga dan perasaanku.

Luka-luka yang kalian cuba balut, masih ada. Namun dapat kurasa setiap lapis kasih kalian disekeliling kepala.

Akan sampai masa aku pulih, sebagaimana Tuhan memulihkan aku dari pelbagai sakit yang tidak disangka.

Masa akan bercerita, maka sabarlah.
Kasih kalian bukan sia-sia,
Ianya Antidot Jiwa.

Elin @ Noor Azlin Mohamad