Laman media sosial sekarang sebahagian dari diri kita, ibarat rumah kita. Awak ceritalah, saya baca. Cerita tentang diri awak, bukan berkenaan orang lain, agar kita tidak terjebak mengumpat.

Meniagalah, ibarat rumah kedai, saya akan lalu dan melihat, jika ada yang saya suka dan perlu beli, saya beli. Tidak perlu ceritakan pada saya perihal kedai dan barangan orang lain. Tidak perlu cerita apa yang orang lain beli dari awak.

Awak ada pendapat untuk dunia, maka katakanlah. Namun jagalah tutur kata. Yang baca bukannya dunia tetapi sahabat-sahabat awak yang lalu-lalang di hadapan rumah awak. Menyumpah, kata-kata kesat dan tidak elok, awak begitukah?

Jika awak ada menyokong seseorang, atau sesuatu, itu hak awak. Tapi usahlah menghasut untuk membenci pula orang yang awak tidak sokong. Dunia ini bukan hitam atau putih sahaja. Pilih satu tidak bermakna yang satu lagi kurang baiknya.

Jika saya kebetulan saya lalu, saya sempat, saya klik butang suka. Jika saya lihat anda sedang mengumpat, menghina, menghasut atau menimbulkan rasa syak wasangka pada seseorang, saya akan unfollow, unfriend atau block sahaja.

Hidup ini, jika kita aman-aman sahaja kan bagus?
Kenapa perlu ada sengketa?
Kenpa perlu ada benci?

Tulislah perkara yang membahagiakan, jika tiada bahagia dalam hidup kita, kongsilah derita jika ianya dapat mengurangkan sakit di dada. Namun, usahlah mengadu domba, walau bunyi seperti bergurau sahaja. Apa malaikat catat “gurau je” “tak niat pun”?

Hindari mengumpat sahabatku,
Allah memelihara aib kita.

Saya kesal membaca penulisan yang bunyinya seolah menganggap perihal mengumpat atau “membawang” ini perkara biasa yang harus jadi ikut-ikutan. Perihal bermulut “puaka” tapi hati baik. Mengumpat tanpa malu, bagai meratah mayat tanpa rasa mual dan takut.

Malah, menulis perkataan mencarut dan kata-kata kesat jadi bahan permainan, ayat merujuk kepada Allah dibuat pula gurau-gurauan. Ini bukan tentang dia boleh buat., kenapa saya tidak boleh buat. Dia buat dosa, kita ingin ikut sama?

Dia cerita aib orang, kita pun turut sama.
Kita menunjukkan sokongan walaupun tiada kaitan pun dengan kita. Orang nak tutup buku, kita ulas kembali pula. Orang nak berdamai, kita gelakkan kata usaha itu sia-sia.

Duhai sahabat,
Ceritalah apa yang Allah suka
Yang boleh berkongsi pahala.
Jadi bekal untuk ke syurga.

Saat kematian itu datang, apapun tentang hal dunia yang kita sibukkan hari ini kita tidak akan dibawa bersama. Cuma amalan yang mengikuti kita, penentu syurga atau neraka.

-Elin-