Belajar menulis ini sama seperti kita belajar berbasikal. Mula-mula naik atas basikal tu. Kemudian letak kaki atas pedal pengayuh. Selepas itu belajar kayuh. Mula-mula pakai roda tiga sudah pandai nanti pakai roda dua.

Kalau tidak bermula sampai bilapun tidak akan pandai. Kamu juga kena kayuh selalu. Jatuh, tersungkur, luka, terhumban dalam longkang, tidak mengapa. Kayuh sahaja. Macam juga menulis, tulis sahaja, tidak perlu pandai dahulu baru nak menulis. Latih otak kita setiap hari. Tulis apa sahaja biarpun ‘kelaut’.

Kepada mereka yang sudah pandai kayuh basikal tu jalan terus, tunjuk contoh yang baik bagaimana cara berbasikal yang betul. Ada masa kongsi tip mengayuh dengan betul. Tidak perlu jadi tukang kritik pada budak yang baru ‘nak up’. Biarlah dia mahu pakai tayar besar atau tiada tayar. Asalkan dia mahu mengayuh.

Maksudnya yang sudah pandai menulis, sudah ‘pro’ tidak perlu mencari kesalahan pada penulisan orang yang baru nak belajar menulis. Lainlah jika dia sendiri mesej kamu minta ditunjuk ajar. Bagi contoh yang baik. Bukan contoh “Aku betul, kau salah”.
Kalau ada orang nak bagi ilmu penulisan, hendak ‘follow’ maka buatlah. Jika dapati ilmu itu bercanggah, buat kajian sendiri mana yang sesuai untuk kita. Bukan sibuk mengkaji apa kelulusan dia, dia pernah tulis bukukah? Pernah sertai bengkelkah?

Kak Lin pernah juga kritik cara orang menulis seperti ‘budak wechat’. Tapi tiadalah sampai menghina. Teknik tu diguna pakai oleh ramai. Mungkin kerana pembeli sekarang suka ayat bukan dari kamus dewan. Teknik ini juga diajar banyak pengelola kursus perniagaan online.

Oleh kerana Kak Lin tidak suka gunakan cara begitu, Kak Lin tidak praktikkannya. Pernah juga buat kerana dipaksa. Namun tiadalah bila Kak Lin baca tulisan kawan-kawan yang guna ‘sistur’, Kak Lin baca dengan jelek. Kalau itu sudah gaya dia, terima sahajalahkan.

Sebenarnya, gaya penulisan itu terpulang pada individu. Mahu tulis…, mahu tulis kecil besar, titik ke bawah titik ke atas, ala wechat, ala iklan trivago, pendek kata terpulanglah!

Kak Lin cuma cuba tunjukkan contoh bagaimana anda boleh menjaga kemurnian bahasa walaupun anda sedang berniaga atau sembang-sembang sahaja. Tidak berdosa menulis ‘cuwit’ untuk ‘sweet’ tetapi ingatlah bahasa jiwa bangsa dan mencerminkan keperibadian.

Jika anda memang seorang yang begitu, nah teruskan! Kerana itu gaya kamu bercakap di rumah, di tempat kerja dan di mana-mana bukan? Jadi kenapa mahu diubah? Kalau orang suka guna dialek dalam percakapan, dia ingin menulis dalam dialek pun tak salahkan?

Semalam Kak Lin ada reshare posting ‘Suamiku Mamat Ice Skating’. Ianya ditulis pada April 2017. Maknanya 5 bulan lepas. Terkejut Kak Lin bila dapati ada banyak juga perkara-perkara yang Kak Lin tidak buat sekarang, pernah dibuat dahulu.
Jadi Kak Lin edit balik posting tersebut. Kalau anda belek-belek posting-posting lama, banyak sahaja Kak Lin buat kesalahan ejaan, tatabahasa, guna bahasa ‘wechat’ dan sebagainya.

Kita akan sentiasa belajar. Untuk belajar kena praktis. Jadi kalau nak belajar menulis, kenalah selalu menulis. Jangan taip-taip padam. Kamu malu pada siapa? Bimbang tiada orang like? Dahulu Kak Lin pun begitu. Ada posting yang Kak Lin padam kerana tiada komen atau like.

Sekarang Kak Lin fikir, aku ingin belajar. Pembaca aku juga harus belajar corak penulisan aku. Mengenali aku. Bukan like dan share pada posting yang viral atau catchy sahaja. Mereka baca atau tidak baca terpulang mereka, ini medan aku belajar menulis.

Personal branding? Kalau tulis pun asyik ‘copy paste’, bagaimana nak brandingkan diri sendiri? Cubalah lihat tin sardin, banyak warna merah sebab sardin jenama terkenal banyak warna merah. Jadi pakat-pakat tiru warna merah, ada logo depan bulat. Sekali pandang sama sahaja.

Akhir kata, belajar apa-apa ilmu menulis, lihat kesesuaian dengan kita. Yang banyak ilmu, rasa terlebih, curahlah di posting-posting kamu. Tidak perlu rasa tergugat jika ada yang menyampai ilmu penulisan baru, atau rasa marah bila ada yang tidak mengikut cara yang kamu pelajari.

Satu ilmu terpenting menulis:
Terus menulis.

Macam kau kayuh basikal, terus sahaja kayuh. Nikmati alam sambil mengayuh. Tulis apa yang lihat dan kau rasa. Menulis adalah satu eksplorasi jiwa. Lagi banyak kau menulis lagi jauh kau boleh pergi.

Jadi, selamat mengayuh!

P/s:
Tulis “Emoji” bukan menulis. Itu tekan, pilih, tekan.

Elin Mohamad
➖➖➖➖➖➖➖➖➖
#BukanCikguBiasa
#BukanSekadarFollow!
📁 File: #TipsMenulisGayaKamu
📌 Sila #Like, #Komen dan #Share jika anda belajar sesuatu. #Tag sahabat hanya bila dapat keizinan mereka. Semoga bermanfaat!