Selepas pemergian abah, saya mengalami low mood yang teruk. Perasaan tidak ingin melihat dunia semakin mencengkam. Malam bertukar jadi siang dan siang bertukar jadi malam.Akhirnya saya ke klinik mohon appointment hospital dipercepatkan. Alhamdulillah, selepas dinaikkan sedikit dos dan mengikuti saranan doktor, saya mulai dapat tidur kembali.


Sepulangnya dari appointment kami ke bandar Kuala Kangsar pula untuk mengambil kad oku. Alhamdulillah, permohonan mengambil masa kurang dari 2 minggu. Saya sudah mengalami masalah kesihatan mental ini sejak dari matrikulasi lagi. Semasa belajar ijazah kejururawatan saya juga pernah dirujuk untuk kaunseling di unit psikiatri.


Tahun 2017 saya mengandungkan anak ke-5. Doktor dari unit cardiologi merujukkan saya ke unit psikiatri sekali lagi, kali ini untuk memastikan samada saya mempunyai anxiety, kerana ini akan mempengaruhi kesihatan jantung saya juga.
Saya disahkan mempunyai anxiety, namun saya masih dalam fasa denial. Masakan saya yang petah berhujah sebagai debator dan pengurusi majlis ini punyai anxiety. Tidak mungkin.


Ini kerana saya tidak faham apa itu anxiety, saya tidak tahu. Tapi saya defaulter, menganggap masalah ini tidak menganggu saya. Sehinggalah saya “serah diri” kembali pada tahun 2018. Kalini saya mulai menghidap depression.Dari tahun 2018 sehingga kini, saya berulang alik ke unit psikiatri di Kuantan, kemudian di Hopsital Taiping. Awal tahun ini saya didiagnosis mengalami bipolar disorder type 2, disamping anxiety.


Jadi tahun ini sebenarnya sudah lebih 5 tahun saya bergelar pesakit mental. Ada kawan-kawan yang sarankan saya buat kad OKU ini beberapa tahun lepas. Hanya tahun ini saya berpeluang membuatnya. Prosesnya adalah pertama, ambil surat permohonan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kemudian, buat temujanji khas dengan doktor dari unit psikiatri bagi borang tersebut.

Semasa temujanji akan ditanya beberapa perkara perihal kesihatan mental sekarang dan dahulu. Selepas itu doktor akan mengisi bahagian pengesahan di borang permohonan oku tadi. Selepas itu bawa borang ke JKM kembali. Mereka akan memberikan slip penerimaan permohonan. Dalam 2 minggu mereka akan telefon untuk memberitahu kad telah siap.


Alhamdulillah akhirnya saya memiliki kad ini. Ada banyak keistimewaan yang diberikan kepada oku yang mendaftar. Nanti saya ceritakan lagi ya.

 

Noor Azlin Mohamad