Saya tidak pernah kuburkan impian saya. Niat untuk sambung belajar kembali itu masih ada dan berbunga-bunga. Setiap hari saya akan jalan-jalan di laman – laman universiti sambil berangan-angan menjadi pelajar kembali.
Namun, saya tak mampu untuk pergi sendiri dan meninggalkan keluarga sekali lagi. Cukuplah 3 kali saya berjauhan dengan anak-anak dan suami. Sangat berat untuk melakukannya lagi.
Pertama sewaktu saya sambung degree (belajar di Kuantan, family di Puchong). Kedua waktu saya mula ambil master (sama di atas). Ketiga waktu saya mengambil data kajian (kajian di Putrajaya, family di Kuantan).
Saya masih ada anak kecil berumur 3 dan 5 tahun. Mustahil suami saya boleh menjaga mereka semua 6 beradik. Tambahan pula kini dia meniaga di home kiosk di rumah. Saya bimbang saya akan diserang panik attack memikirkannya sahaja.
Jika saya nak sambung dalam masa terdekat (ambilan paling awal bulan 3 tahun depan) saya perlu merancang dari sekarang. Jalan terbaik adalah pindah ke kawasan berdekatan dengan tempat belajar.
Tapi itu memerlukan kos yang besar. Kos lori pindah, kos untuk deposit rumah (bulanan zakat akan tampung pada had tertentu) dan rumah perlu sesuai untuk perniagaan kami ini. Sebelum ini 2 kali kami berpindah, 2 kali jugalah kawan-kawan yang sumbang kos.
Kegagalan saya semasa sambung belajar pada tahun 2018, bukanlah mudah. Hanya 3 markah memisahkan saya antara pembaikan thesis dan gagal.
Saya pergi ke kementerian, kementerian kata ni kes mudah, universiti sepatutnya bagi saya peluang. Pergi ke universiti, mereka kata saya perlu akur pula kepada fakulti. Masalahnya yang gagalkan saya adalah orang tertinggi di situ.
Kerana kegagalan saya, saya dibuang dari kontrak sebagai pelatih akademik. Saya dibuang kerja. Saya juga perlu bayar balik biasiswa diterima sebanyak 46 ribu lebih.
Orang yang gagalkan saya tidak rasa diri mereka gagal jadi pendidik. Gagal dalam memperjuangkan hak pelajar. Sedikitpun tiada riak menyesal di muka waktu saya merayu memohon dibantu. Malah disuruh keluar dan tidak mahu berjumpa.
Saya masuk juga, dan berdiri sambil kaki sudah hilang rasa jejak di bumi.
“Dr, tolong bantu saya …”
Tidak sempat habis saya bicara, dia sudah mulai marah-marah. Ayat terakhir yang saya dengar,
“Azlin, awak memang sengajakan, nak susahkan suami dan anak-anak awak!”
Kata-kata itu mengguris perasaan saya. Inikah ahli akademik yang terpelajar? Sedangkan mereka tahu waktu itu saya sudah mulai mengalami depression. Mana naluri pendidik mereka?
Kerana itulah saya tidak akan lenyapkan impian saya untuk menjadi pendidik suatu masa nanti. Saya gagal bukan hanya kerana thesis saya, ianya kegagalan sistem pembelajaran bermula dari awal pengajian lagi.
Apabila saya cuba untuk menulis perkara ini di media sosial beberapa tahun dahulu, saya dinasihatkan oleh kawan-kawan agar jangan “menabur pasir dalam periuk” orang lain. Bahawa saya ini membuka aib tempat saya pernah belajar dan bekerja.
Mereka lupa, saya adalah bekas pelajar degree di situ dan lulus dengan cgpa 3.02. Saya sayang tempat itu. Saya hargai dan hormati pendidik-pendidik yang pernah mengajar saya.
Kawan-kawan saya pun masih ada di sana. Mereka orang baik-baik. Namun untuk mendiamkan kebenaran, ianya sangat melukakan hati saya. Saya berjuang melawan individu-individu, yang mempunyai kuasa.
Mereka yang menganiayai saya tidak mengalami apa-apa sedangkan saya hilang kerjaya dan dibebani pembayaran balik. Sebab itu saya sangat teruja dengan perjuangan Cikgu Mohd Fadli Salleh
Ia mengingatkan saya, kita tidak perlu pangkat dan kedudukan, yang kita perlu hanya semangat dan sokongan. Kata-kata dan penulisan boleh mengubah dunia, mencipta ombak revolusi yang bakal mengubah landskap dunia pendidikan.
Dunia pendidikan bukan ekslusif untuk mereka yang berkuasa, ianya milik semua. Milik anak-anak kita. Ianya tempat kita berhujah dengan bijaksana, bukan menggunakan kuasa untuk mendiamkan mereka yang bangkit menuntut keadilan.
Noor Azlin Mohamad
#UniversityOfHome
#MemoirSeorangPejuangIlmu