Apabila kita sakit dan nampak sihat, akan ada yang sangsi betul ke kita sakit. Ye ke sakit, elok je aku tengok. Namun apabila kita sakit dan nampak tak terurus, akan ada yang kata bawa-bawalah berubat. Ikhtiar lawan sakit.

Alhamdulillah, sejak 2-3 minggu ini saya dapati saya tak rasa macam saya sakit mental pun. Rasa macam manusia normal. Ini hasil dari ubatan psikiatrik dan kaunselling yang berkala. Berbeza dari saya berbulan-bulan dahulu, malah mungkin bertahun-tahun dahulu. Usaha ini adalah usaha bersama suami dan isteri, anak-anak serta keluarga. Paling penting semuanya berlaku dengan izin Allah.
Sambung belajar juga adalah “ubat” saya. Rasa hidup kembali untuk cita-cita. Ingin belajar banyak ilmu, agar dapat saya curahkan kembali kepada orang lain. Ianya satu bentuk terapi bagi saya menulis nota, mendengar kuliah dan memahami banyak perkara yang saya tidak pelajari secara formal selama ini.
Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Malah tiada kegagalan selagi mana kita ingin berusaha. Bila kita gagal akan ada yang mengejek “kau tu gagal”, sedangkan merekalah yang tidak pernah ke depan. Orang yang tidak pernah mencuba tidak akan pernah gagal. Terus di zon selesa kerana takut akan kegagalan. Jadi apabila melihat kegagalan orang lain, tanya diri sendiri, aku mampu kah untuk melalui apa yang dia lalui? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Teruskan mencuba. Lalui kegagalan dengan usaha, nescaya kau akan mencapai kejayaan. Bukan untuk orang lain, tapi dirimu sendiri. Sesungguhnya usaha itu tangga kejayaan, dan kegagalan itu yang mengajar kau mendaki tangga itu.
Kau pasti boleh!
Noor Azlin Mohamad