makan-ubat

“Makanlah ubat tu dan tidur, sayang. Nanti ayang sakit lagi”

Secawan air manis dan sebuku roti di letak di atas meja. Kemudian dia datang lagi membawa beg ubat saya.

Ya saya belum tidur lagi sejak semalam. Masalah tidur saya terjadi lebih kerap kebelakangan ini. Saya cuba untuk tidur awal, tapi akhirnya mata saya terkedip-kedip dalam gelap.

Sorok telefon jauh-jauh kononnya tak mahu scroll, tapi akhirnya ambil juga. Scroll baca macam-macam. Otak pun ligat lain macam. Sampai ke Subuh masih belum mengantuk.

Ada waktu saya tertidur jam 5 pagi, maka telepas Subuh kerana kepala berat sangat nak bangun balik. Jadi saya tunggu sampai Subuh, solat dan baru tidur.

Ada banyak isu-isu yang trigger emosi jadi bercelaru. Tiba-tiba perkara yang saya sangka saya telah berdamai, rupanya tidak. Saya masih marah dan kecewa.

Lalu saya cuba mengubat luka dengan angan-angan. Tanpa saya sedar ianya juga membuat saya sedih kerana ianya sukar untuk dicapai.

“Masa fasa manic, awak akan rasa awak sangat hebat dan genius. Lalu awak akan cuba melakukan dan merancang pelbagai perkara. Apabila awak gagal melaksanakan, awak akan mula rasa kecewa”.

Saya faham kata-kata doktor yang merawat saya. Ianya berlaku kerapkali, dan setiap kali saya masih gagal mengawal emosi dan fikiran saya.

Terima kasih kawan-kawan selalu beri sumbangan dan sokongan kepada saya sekeluarga. Saya amat menghargai jasa kalian. Sesungguhnya Allah menghadiahkan kami teman-teman yang baik.

Terima kasih juga kerana menerima saya ini, dan selalu memberi kata dorongan agar saya dapat mengharungi ujian sakit mental ni.

Doakan saya ya, saya ingin sembuh, saya ingin kejar semula cita-cita saya suatu masa nanti.

Menjadi pendidik, walaupun mungkin saat itu saya masih lagi orang kurang upaya.

@Noor Azlin Mohamad
#UniversityOfHome
#BipolarAnxietyNotes