Perkataan Maaf
Bukan mudah untuk menuturkan perkataan maaf, apatah lagi jika bukan kita yang bersalah. Namun dengan melakukannya untuk mendamaikan keadaan, menjadikan kita lebih matang dan tabah.
Yang dipohon maaf pula, seharusnya melihat kerendahan hati insan yang meminta maaf. Bukan senang merendahkan ego, dan janganlah fikir diri sudah menang maka dicanang-canang.
Menukarkan kemuliaan kepada kehinaan. Kononnya pernohonan maaf itu menandakan satu lagi pihak salah dan satu lagi pihak benar. Lalu mendabik dada, akulah yang mulia.
Manusia yang Dahagakan Perhatian
Dalam hidup saya banyak kali saya menemui manusia seperti ini. Mereka dahagakan perhatian, dan suka membuat orang tunduk pada mereka. Jika tidak mengikut, habis dibuka segala aib. Kita pula yang perlu meminta maaf, walaupun bukan salah kita.
Mereka lupa kita ada perjumpaan nanti di alam seterusnya. Lupa ada pengadilan tanpa mulut yang berbicara. Saat itu akan tiba, di mana hak-hak mereka yang dianiaya tidak perlu peguam untuk menang bicara.
Tidak salah ingin menjadi manusia yang sukakan kejayaan. Berusahalah, dan Allah melihat usaha kamu. Namun untuk berjaya dengan memijak orang lain, itu satu penganiayaan.
Kemenangan di Dunia
Kamu mungkin menang di dunia, di akhirat nanti pasti akan mendapat balasan atas setiap yang dianiaya. Kamu boleh tidur tenang dan tersenyum kerana lawan kamu tumpas sementara kamu dipuncak.
Ini sementara sahaja, Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu.Setiap dari kita pasti ada membuat kesilapan dalam hidup ini. Bertaubatlah dan mohon Allah jaga hati agar tidak mengulangi lagi.
Usah mendongak dan mendabik dada, bimbang tersungkur ke bumi tanpa sedar. Yang menjadikan kamu hebat bukan kamu, tapi Tuhan Yang Maha Kuasa. Bersyukur atas setiap kelebihan, namun usah sesekali lupa, ianya kurniaan pinjaman.
Noor Azlin Mohamad
#UniversityOfHome