Sudah lama blog ini bersawang tanpa update. Bukan sahaja di sini malah di media sosial saya yang lain juga. Seolahnya tiada apa yang ingin saya tulis, atau kongsikan. Sedangkan pelbagai benda yang baik yang berlaku dalam beberapa bulan ini. Namun pemikiran saya masih belum bersedia, mungkin. Saya dibelenggu perasaan serba salah, malu, sedih, kecewa, rasa tak guna, malah banyak lagi perasaan negatif yang berkumpul dan bersarang dalam kepala.

Sudah berminggu-minggu tidur saya tidak betul waktunya. Malam menjadi siang dan siang menjadi malam. Bermacam cara saya gunakan, agar saya dapat tidur seperti manusia lain. Ubat bipolar tidak akan memberikan kesan yang optimum apabila saya tidak tidur secukupnya. Tapi saya tidur, cuma waktu yang salah. Biology clock saya sudah tidak betul. 7 pagi saya adalah 7 malam. Saya rasa bersemangat dan aktif sehingga “petang” saya iaitu sampai ke Subuh. Kemudian saya jadi amat mengantuk pula jam 9 pagi sehingga petang.

“Abang, bagaimana kalau sampai bila-bila ayang macamni?” Tanya saya pada suami. Saya tahu dia tiada jawapan untuk saya. Jawapan dari doktor pula, saya patut cuba tidur waktu malam. Kena cuba. Tapi saya masih juga tak dapat lelapkan mata. Macam-macam ada dalam fikiran saya, nak buat itu nak buat ini. Aku patut macamni, aku tak patut macamtu. Saya tahu, ini sakit saya. Saya tahu saya sakit dan ianya tidak boleh dihilangkan dengan begitu sahaja. Ubat itu ikhtiar. Allah yang Maha Menyembuhkan. Ada sebab Allah uji saya, dan saya masih tercari-cari sebabnya.

Dalam hidup ini, banyak benda berlaku dalam hidup kita. Ada benda membahagiakan, memudahkan. Ada benda yang menyakitkan dan menghibakan. Nak cari punca, nak cari salah, nak fikir “kalau” memang kita akan terus hanyut dalam emosi. Saya sedar saya terlalu banyak berfikir akan pelbagai perkara. Ada masa saya nak kosongkan semua, curah sampai licin. Namun ianya di luar kemampuan saya. Ada waktu saya yang memegang “stereng” ada waktunya ianya autopilot.

Dalam dua hari ini, badan saya seperti ingin bekerjasama, rasa nak tidur tu mulai ada bila tiba wajtu malam. Namun Ammar pula demam. Saya jadi auto protective, tak boleh tidur dan mengelap badannya acapkali. Dia tak batuk atau selsema, cuma demam yang panas. Macam-macam bermain dalam fikiran saya. Teringat memori sahabat dan saudara yang kehilangan anak-anak semasa kecil. Terbayang video-video kehilangan anak yang masih kecil di tiktok. Ya Allah, saya langsung tak dapat lelapkan mata!

Saya mula terfikirkan hal-hal yang tidak sepatutnya. Jadi panik, jadi takut. Ya Allah terbayang kata-kata yang saya dengar di Tik Tok. Bahawa lagi sedih ibu bapa yang kehilangan anak dari anak yang kehilangan ibu bapa. Semuanya berpusing-pusing dalam kepala. Jadi pagi ini walaupun cuma terlelap sejam setangah, saya gagahkan diri ajak suami bawa Ammar ke Klinik Serendah. Semasa bertolak badan Ammar masih panas, minum susu pun tak mahu. Allah, lagilah saya rasa bersalah.

Suami yang bawa Ammar masuk dan jumpa doktor. Katanya tak jadi ambil darah, sebab baru demam nak masuk dua hari. Jadi doktor bagi ubat demam sahaja. Terus bagi dalam kereta walaupun terpaksa pegang kaki dan tangan. Lepas makan ubat demamnya mulai kebah. Hairan, dekat rumah makan ubat, masuk ubat ikut bontot, tak jalan. Elok pula dia tidur dalam pangkuan saya. Cuma kurang ingin minum susu sebab tekaknya sakit. Balik dari klinik kami singgah ke beberapa kedai di Bandar Bukit Beruntung untuk topup barang niaga.

Sampai sahaja di rumah, saya terus ke bilik dan cuba lelapkan mata. Tapi dapatlah lelap sejam dua sebelum bangun untuk kejar solat Zohor. Lepas Asar saya tidur lagi sampai Maghrib. Entah mengapa rasa mengantuk sangat. Mungkin sebab lega Ammar sudah makin kebah demamnya. Mungkin juga sebab tidur sekejap sangat. Waktu terjaga untuk solat maghrib, suami ajak saya bawa Ammar ke bandar, katanya nak beli ais krim McD sebab doktor kata tekaknya bengkak sedikit. Saya walaupun rasa keberatan ikutkan sahaja.

Sebelum keluar, saya nampak ada satu besi jemur rak kain lama yang suami letak di belakang pintu depan. Kakinya sahaja. Saya minta Ainna bawa ke bilik saya. Saya kemas-kemaskan plastik yang bergantungan belakang pintu, minta Farahiyya hantar ke bilik juga. Tak lama selepas itu saya yang sudah siap pakai kasut pun keluar mengekori suami saya ke kereta. Masuk kereta 5 minit, betul-betulkan niqab, tiba-tiba dapat call dari anak-anak. Saya fikir mereka nak pesan apa-apa.

Selepas menjawab panggilan, tiba-tiba muka suami saya berubah. Saya tanya kenapa, kepal sudah fikir macam-macam.

“TV pecah, Ainna bawa besi rak kain tu kena tv, pecah. Abang pergi tengok sekejap”

Rasa macam hilang nafas seketika. Macam tak percaya. Ya Allah. Saya masih tinggal dalam kereta. Kaki saya seolah melekat ke lantai. Suami saya kembali dengan berita duka. Ditunjuknya gambar skrin tv yang telah rosak. Saya sedih sangat, terus menangis. Sebab tv tu masih baru, kami beli tunai beberapa hari selepas hari raya guna duit KWSP. TV 32 inchi yang berharga RM799. Besar sangat nilainya bagi saya. Kami membelinya setelah hampir 7 tahun menggunakan tv kotak kecil bersaiz 14 inchi. Itupun kerana ada rezeki lebih.

Suami ajak saya ke bandar juga, saya kata maaf saya sudah tak boleh berfikir. Saya rasa marah, kecewa, sedih. Saya salahkan diri saya minta Ainna bawa besi tu. Tak berat tapi Ainna tu baru darjah satu. Balik saya rasa nak kunci mulut saya. Rasa tak nak bercakap dengan anak-anak. Tapi terkeluar juga. Saya marah mereka, macam-macam saya sebut. Saya tegur juga sikap mereka yang suka bergaduh akhir-akhir ini. Saya berleter tentang segala benda. Mujurlah saya makan ubat on time pagi tadi. Kalau tak mungkin saya mengamuk teruk.

Saya google dan cari berapa kos untuk baiki, rata-rata kata baik beli tv baru. Tidak, kami sudah tidak mampu nak beli yang baru. Ini baru beli setelah 7 tahun. Saya kecewa, saya salahkan diri saya banyak kali. “Kalaulah” , ya itu yang berlegar dalam pemikiran saya. Kalau aku tak suruh Ainna. Kalau aku tak keluar. Suami saya masih cool. Saya bagai hilang sesuatu yang amat berharga. Saya lupa semalam saya bimbang kehilangan anak, ini saya kehilangan benda bukan anak. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku Ya Allah. Kau sudah beri kesembuhan buat anakku, ini ujian untuk aku befikir.

“Mesti ada sebab Allah izinkan TV tu rosakkan abang? Kalau tak kita akan ke bandar malam ini. Entah-entah bila keluar eksiden, tak balik-balik dah” kata saya sambil menjenguk suami yang sedang mengoreng keay teow di dapur. Allah yang izinkan tiap-tiap sesuatu berlaku. Pasti ada hikmahnya walaupun saya masih diselebungi rasa kecewa dan sedih. Saya mencari hikmah yang Allah sedang berikan. Suatu kesedaran.

Bahawa di dunia ini tiada yang kekal. Saya harus menerima setiap takdirnya. Redha.

Namun pastinya tidak mudah, esok mungkin saya terfikirkan lagi. Jadi saya minta suami sorokkkan tv baru yang sudah rosak tu. Saya lantas ke meja kerja, dan teringat akan blog ini. Mungkin ini masanya. Mungkin dengan menulis aku akan rasa lebih lega. Bila saya menulis, otak saya seolah meleraikan benang-benang idea dan pemikiran yang kusut. Ianya memenatkan tapi saya rasa lebih lega apabila dapat menulis.

Saya perlu redha, akan sakit yang saya hadapi kali ini. Sudah hampir 4 tahun, dari depression sehingga bipolar type 2. Allah menguji kerana saya mampu. Sakit ini memakan emosi dan tenaga. Saya perlu terima ujian ini. Saya hilang kemampuan untuk berfikir seperti mereka yang sihat akalnya. Namun Allah hadirkan 7 anak, satu sudah menanti di syurga. Anak-anak yang menerima saya seadanya sebagai ibu mereka. Ibu yang sudah kurang upaya mentalnya. Tiada yang mustahil bagi-Nya.

Bergambar dengan anak-anak perempuan. Anak-anak lelaki berlari sini sana. Penerimaan dan kehilangan. Aku cuba Ya Allah, aku Redha. Aku terima.

Alhamdulillah.

Elin @ Noor Azlin Mohamad

12.58 malam, Bukit Beruntung, Selangor, Malaysia.

#UniversityofHome