Assalamualaikum,
Biasanya saya akan cuba juga menulis walaupun tidak sihat. Namun kebelakangan ini untuk membuka media sosial dan membaca perkembangan kawan-kawan juga tidak mampu saya lakukan.
Hari sihat dan tidak sihat berganti-ganti. Ada waktu bahagia yang teramat dan ingin membuat pelbagai perkara, ada waktu pula rasa berat dan ingin berkurung sahaja.
Namun ini jauh lebih baik daripada beberapa bulan lepas. Ubat pun doktor sudah naikkan kembali bagi mengawal fasa manic yang kerap muncul kebelakangan ini.
Pada fasa manic untuk pesakit bipolar, akan ada banyak idea mencurah-curah, tenaga terlebih, terlebih kreatif dan happyness yang melampau. Bunyinya seperti bagus, tapi untuk pesakit bipolar ianya tidak.

Follow up di Klinik Psikiatri, Hospital Sungai Buloh
Fasa ini juga membawa kepada resah gelisah, tidak berpijak di bumi nyata, cepat salah faham dan salah sangka, serta mood swing yang teruk. Saya akan cepat marah-marah, bercakap-cakap tanpa henti dan berfikir yang bukan-bukan.
Justeru itu saya mengelak untuk berada di media sosial kebelakangan ini. Cuma log in untuk update kerja admin di group affiliate yang saya jaga. Itupun saya buat waktu hampir tengah malam
Walaupun saya jarang berada di sini, kawan-kawan selalu mesej bertanya khabar. Alhamdulillah saya dikurniakan kawan-kawan yang baik-baik. Selalu membantu saya sekeluarga walaupun sudah lama atau belum pernah bersua.
Terharu apabila ada rakan-rakan yang salurkan sumbangan. Rakan-rakan sekolah rendah, sekolah menengah, mrsm, nursing, medic, junior-junior, lecturer, rakan-rakan Facebook, jiran-jiran dan ramai lagi.
Kami juga ada menerima bantuan daripada Zakat Selangor dan JKM. Alhamdulillah mendapat ikan dan joran untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Dengan bantuan-bantuan ini suami saya dapat menambah servis dan produk yang dijual di rumah kedai kecil kami. Walaupun jualan harian masih rendah tetapi ianya semakin menaik sedikit demi sedikit.

Inilah Rumah Kedai ala Koperasi kami, Bro Nan Home Mart
Kawan-kawan bantu juga untuk belikan tilam-tilam dan katil untuk anak-anak. Juga dapat membeli kipas untuk bilik-bilik. Ya Allah, besar nilai sumbangan yang kawan-kawan berikan. Terima kasih Allah menghadiahkan kawan-kawan yang baik-baik.

Katil dan tilam- tilam yang dibeli hasil sumbangan kawan-kawan
Kesihatan mental saya kebelakangan ini juga sebenarnya semakin membaik, jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun kebelakangan ini on off sihat tak sihat, jauh lebih baik dari sebelum ini.
Alhamdulillah talian internet Unifi juga telah dapat dipasang, setelah lama menunggu. Penting kerana perniagaan printing, fotostat serta kerja admin saya memerlukan talian internet yang laju.
Namun ada kerja-kerja yang saya tak dapat lakukan kerana kekangan kesihatan mental saya. Telefon pun selalu flight atau silent mode. Tengok komputer pun tak mahu.
Saya masih belum dapat mengemaskini web dan blog personal saya, juga masih belum dapat membina website rakan yang telah lama tertunggak. Maafkan saya ya, nanti saya lebih sihat saya buatkan.
Dengan bantuan-bantuan yang kami terima dari rakan-rakan, zakat dan JKM, kehidupan kami semakin membaik. Dapat belikan baju dan kasut raya untuk anak-anak. Belikan almari pakaian setelah sekian lama.

Membeli buku teks Ainnur yang tidak cukup kerana perpindahan sekolah.
Saya sedar yang bantuan-bantuan ini bersifat sementara, dan saya bersyukur yang teramat atas setiap sumbangan yang kami terima. Sesungguhnya Allah akan membalas setiap kebaikan dengan pahala dan rahmat-Nya.
Kami akan berusaha lebih lagi untuk menjana pendapatan agar kami dapat berdikari sendiri. InsyaAllah selepas raya nanti kami nak jual juga sandwich, nasi lemak, cucuk-cucuk dan sepertinya.
Sumbangan yang diterima, ada kami gunakan untuk mencukupkan belanja keperluan dan ada yang kami jadikan modal perniagaan dan pusingan. Terima kasih semua, terima kasih Allah.
Allah uji dan Allah berikan ganjaran atas setiap ujian. Solatlah, lakukan apa yang disuruh-Nya, jauhi yang dilarang oleh-Nya. Cuba perbaiki ibadat kita. Mohon keampunan atas segala dosa.
Bila waktu solat, saya akan sering terlupa berapa rakaat dan surah yang dibaca. Suami saya pernah cakap saya solat sampai 7 rakaat. Berat rasanya untuk solat. Ambil wuduk pun sampai basah lenjun.
Namun saya tetap solat, tetap melawan kerana ini adalah kewajipan. Kawan-kawan yang diuji, jangan tinggalkan solat. Jika tak pernah solat, perlu mula solat. Allah ada. Allah akan bantu kita.
Panjang saya menulis, doakan saya lebih sihat. Saya rindu menulis, rindu untuk berkongsi cerita dengan kawan-kawan. Saya dapat rasakan kasih sayang kalian walaupun berjauhan.
Salam rindu dan sayang,
Salam terima kasih,
Salam bahagia.
Elin @ Noor Azlin Mohamad
#bipolaranxietynotes
#universityofhome
#flowersinthemeadow