Apabila saya melihat seseorang tersenyum, saya tertanya-tanya adakah seseorang perlu berfikir untuk senyum, atau ianya refleksi perasaan mereka ketika itu. Sebab saya akan berfikir untuk senyum atau tidak.
Ini kerana ada orang bila saya senyum dia pandang saya dengan wajah kepelikan. Ada orang yang membalas dengan senyuman. Ada juga yang mukanya tiada reaksi apa-apa. Malah ada yang marah bila saya senyum.
Maafkan saya kerana tidak faham. Sebab saya ingat senyuman boleh buat orang bahagia dan tidak marah. Akan tetapi rupanya senyuman ini hanya boleh digunakan bila waktu tertentu sahaja.
Saya tertanya-tanya kenapa orang boleh senyum depan seseorang yang dibenci? Dan tidak senyum pada orang yang baik dengan mereka? Senyum pun ada kasta-kastanya kah? Saya tahu waktu orang sedih jangan senyum.
Tapi saya tengok ada orang yang boleh tersenyum bila seseorang marah padanya. Ianya senyuman sinis. Senyuman yang sengaja dibuat untuk menganjing. Saya tidak suka senyuman tu. Itu senyuman jahat.
Saya suka senyuman yang tiada fikiran. Senyuman yang hadir automatik tanpa perlu berfikir. Saya pernah jumpa senyuman jenis ini. Rata-ratanya dari mereka yang baik hati. Mereka senyum tanpa sebab dan tiada ikatan.
Bila saya lihat senyuman jenis itu hati saya berbunga-bunga. Saya ingin menirunya. Tapi itulah saya kena fikir untuk senyum, takut salah tempat, salah ketika dan salah faham. Tapi saya cuba juga.
Biasanya saya boleh buat depan kamera dengan baik sebab tiada orang depan muka saya. Tiada reaksi yang perlu saya baca. Cuma saya dan muka saya sendiri. Jadilah macam dalam video ni.
Jadi kalau terjumpa saya diluar, senyumlah dulu supaya saya faham yang saya boleh senyum juga. Mungkin pelik bunyinya tapi itulah yang saya rasa selama ini.
Semua benda saya nak buat saya kena faham kenapa. Tidak bermaksud bila saya tahu kenapa saya tahu caranya.
– Elin 29/9/2025









0 Comments