Hari ini saya berhenti awal sesi live. Rasa sesak nafas, batuk teruk dan hampir pitam. Bercakap juga semakin tidak jelas, pandangan pula makin kabur. Saya cuba bertahan sejam lebih sebelum berhenti. Nampaknya saya perlu berhenti dahulu.
Saya sudah cuba sedaya upaya, namun sakit yang tidak nampak di mata ini bukanlah mudah. Saya ambil selimut dan baring di lantai. Tidak mengantuk, tetapi sangat-sangat penat. Kepala rasa panas, seolah-olah kematian itu sangat dekat. Sesekali saya membalas mesej adik.
Mujurlah dia memahami keadaan saya. Dia minta saya berehat dahulu dari jadi hos live. Dia percaya pada rezeki Allah, ada sebabnya jadi begini. Lama saya sihat. Hampir empat bulan selepas pindah ke Kuantan, saya mampu menambah pendapatan kembali sedikit demi sedikit.
Memang saya memaksa diri, tapi ini bukan pilihan. Suami saya sudah menguruskan rumah tangga sepenuh masa, menyediakan makan minum, menghantar dan mengambil enam orang anak yang bersekolah.
Seminggu sekali dia ambil upah masak untuk masjid. Itu sahaja yang mampu dia lakukan untuk cari pendapatan di samping menguruskan semua benda, termasuk saya. Cubaan membuka jualan di masjid pada hari Jumaat tidak dapat diteruskan. Saya tidak mampu berhadapan dengan orang ramai, dia pula tidak dapat uruskan semua serentak. Pendapatan bulanannya memang sedikit.
Ada lebih, ada kurang, tidak tetap. Syukurlah ada bantuan kanak-kanak dari JKM, dapat menampung perbelanjaan sekolah anak-anak. Saya pula bekerja sambilan, tidak tetap. Sekejap ada, sekejap tidak, bergantung pada keadaan mental.
Namun yang mengupah saya tetap membayar setiap bulan. Saya juga dapat bantuan OKU bekerja. Tetapi bila ditambah pendapatan saya dan suami, hanya mampu menampung satu per empat daripada perbelanjaan bulanan.
Tak logik kan?
Saya pun rasa begitu.
Namun itulah yang berlaku. Allah cukupkan dalam kekurangan. Ada kawan-kawan sekolah rendah yang kumpul duit bantu kami. Ada yang masukkan duit tanpa diminta. Ada juga yang bayarkan sewa rumah setiap bulan, termasuk deposit rumah.
Pendapatan affiliate saya ada dan tiada, bergantung kepada kemampuan untuk berada di dunia online. Mental saya tercabar, tetapi itulah juga kelebihan saya.
Menjadi hos live sebenarnya mudah jika hanya bercakap. Namun peperangan dalam otak saya lebih dari itu, berperang di dalam, tersenyum di luar. Orang akan menilai dari apa yang mereka nampak. Bukan salah mereka, saya pun begitu.
Apa yang ditunjukkan itulah realiti, apa yang disorokkan hanya Tuhan yang tahu. Dulu saya selalu ceritakan masalah kewangan kami. Bukan tidak mahu kongsi lagi, tetapi nanti akan ada yang persoalkan logik atau tidak sebuah keluarga boleh survive dengan keadaan kami.
Akan ada juga yang menasihati jangan meminta simpati. Ada juga yang menuduh saya memanipulasi, selalu meminta bantuan, dan menasihati orang lain berhati-hati dengan kami.
Ada waktu terdesak, saya menulis kepada sahabat yang dipercayai. Alhamdulillah, ada bantuan dihulurkan. Namun saya tidak suka selalu meminta-minta. Saya bersyukur kawan-kawan dan keluarga hadir membantu. Keadaan kami hanya difahami yang benar-benar kenal. Ada waktu mereka siap beri wang untuk bawa anak belanja makan di luar.
Menjadi pesakit mental tetapi boleh meluahkan kata-kata kadang jadi kelebihan, kadang jadi kekurangan. Kelebihan apabila kata-kata itu membantu orang lain memahami, malah boleh menjana pendapatan. Kekurangan apabila orang menilainya sebagai kayu ukur kekuatan diri. Saya telah cuba.
Saya bukan orang yang duduk diam dan meminta-minta. Dalam keadaan otak sakit, saya lawan. Saya duduk di kerusi kerja walaupun hanya mampu merenung tanpa berbuat apa-apa. Suami saya memikul banyak beban. Dia bertanggungjawab atas banyak perkara. Dia tidak punyai isteri yang sakit fizikal, tetapi isteri yang sakit mental. Yang perlu dijaga emosi, ditenangkan, didengar cakapnya sehingga jam 4 pagi.
Anak-anak saya ada juga yang sakit seperti saya, walau lain jenisnya. Ada yang tertekan, ada yang trauma. Kini hampir setiap bulan perlu berulang alik ke klinik psikiatri dengan mereka. Walaupun tidak semuanya kronik, saya ingin bantu mereka dari awal. Cukuplah generational trauma yang pernah saya lalui. Bayangkan seorang ibu yang sakit mental, perlu menghadapi semua ini?
Saya masih perlu bekerja walaupun sepatutnya berehat. Sebab salah seorang daripada kami ada kelebihan menjana pendapatan dari rumah dengan lebih baik. Kawan-kawan boleh bantu support saya dengan membeli dari link affiliate yang saya kongsi. Boleh datang ke web saya untuk saya jana pendapatan dengan Google Ads.
Boleh join live saya dan engage. Itu sahaja pertolongan yang mampu saya minta. Selebihnya, sudah banyak yang membantu. Saya amat bersyukur. Salam perkenalan buat yang baru mengenali. Jika selepas post ini saya mendiamkan diri beberapa ketika, itu kerana keadaan mental saya tidak stabil.
Menulis ini pun sudah membuat saya rasa sangat penat. Terima kasih kerana sudi baca penulisan saya. Elin #thestoryofelin








0 Comments